Tuesday, 1 November 2016
Thursday, 13 October 2016
Monday, 10 October 2016
Mata air syurga.
Surah Al-Insan
Sesungguhnya
orang-orang yang berbakti (dengan taat dan kebajikan), akan meminum
dari piala: Sejenis minuman yang bercampur dengan "Kafur". (5) Iaitu
sebuah mata air (di Syurga), yang diminum daripadanya oleh hamba-hamba
Allah (yang taat); mereka boleh mengalirkannya (di tempat-tempat tinggal
mereka) dengan aliran yang semudah-mudahnya dan menurut kemahuannya.
(6) (Mereka
dikurniakan kesenangan itu kerana) mereka menyempurnakan nazarnya
(apatah lagi yang diwajibkan Tuhan kepadanya), serta mereka takutkan
hari (akhirat) yang azab seksanya merebak di sana sini. (7) Mereka
juga memberi makan benda-benda makanan yang dihajati dan disukainya,
kepada orang miskin dan anak yatim serta orang tawanan, (8) (Sambil
berkata dengan lidah atau dengan hati): Sesungguhnya kami memberi makan
kepada kamu kerana Allah semata-mata; kami tidak berkehendakkan
sebarang balasan dari kamu atau ucapan terima kasih, (9) Kami
sebenarnya takutkan Tuhan kami, takut Dia kenakan kami azab hari yang
padanya muka orang-orang yang bersalah: Masam berkerut-kerut. (10) Dengan
sebab (mereka menjaga diri dari kesalahan), maka Allah selamatkan
mereka dari kesengsaraan hari yang demikian keadaannya, serta memberikan
kepada mereka keindahan yang berseri-seri (di muka) dan perasaan ria
gembira (di hati). (11) Dan
kerana kesabaran mereka (mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan
laranganNya), mereka dibalas oleh Allah dengan Syurga dan (persalinan
dari) sutera. (12) Mereka
berehat di dalam Syurga dengan berbaring di atas pelamin-pelamin (yang
berhias), mereka tidak nampak di situ adanya matahari (usahkan hawa
panasnya), dan tidak juga merasai suasana yang terlampau sejuk; (13) Sedang
naungan pohon-pohon Syurga itu dekat kepada mereka dan buah-buahannya
pula dimudahkan (untuk mereka memetiknya) dengan semudah-mudahnya. (14) Dan
(selain itu) diedarkan kepada mereka (oleh pelayan-pelayannya): Bejana
dari perak dan piala-piala minuman yang keadaannya laksana kaca (nampak
jelas isinya). (15) (Keadaannya
laksana) kaca, (sedang ia) dari perak; pelayan-pelayan itu menentukan
kadar isinya sekadar yang cukup betul dengan kehendak penggunanya. (16) Dan mereka dalam Syurga itu, diberi minum sejenis minuman yang campurannya dari "Zanjabil", (17) Iaitu sebuah mata air dalam Syurga, yang disebutkan sifatnya sebagai "Salsabil". (18) Dan
mereka dilayani oleh anak-anak muda lelaki yang tetap kekal (dalam
keadaan mudanya), yang sentiasa beredar di sekitar mereka; apabila
engkau melihat anak-anak muda itu, nescaya engkau menyangkanya mutiara
yang bertaburan. (19) Dan
apabila engkau melihat di sana (dalam Syurga itu), engkau melihat
nikmat yang melimpah-limpah dan kerajaan yang besar (yang tidak ada
bandingannya). (20) Mereka
di dalam Syurga memakai pakaian hijau yang diperbuat dari sutera halus
dan sutera tebal (yang bertekat), serta mereka dihiasi dengan
gelang-gelang tangan dari perak dan mereka diberi minum oleh Tuhan
mereka dengan sejenis minuman (yang lain) yang bersih suci. (21) (Serta
dikatakan kepada mereka): Sesungguhnya (segala pemberian) ini adalah
untuk kamu sebagai balasan dan adalah usaha amal kamu (di dunia dahulu)
diterima dan dihargai (oleh Allah). (22) Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al-Quran kepadamu (wahai Muhammad), dengan beransur-ansur. (23) Oleh
itu hendaklah engkau bersabar menerima hukum Tuhanmu (memberi tempoh
kepada golongan yang menentangmu) dan janganlah engkau menurut kehendak
orang yang berdosa di antara mereka atau orang yang kufur ingkar. (24) Dan
sebutlah dengan lidah atau dengan hati akan nama Tuhanmu (di dalam dan
di luar sembahyang), pada waktu pagi dan petang; (25) Dan
(dengan apa keadaan pun maka) pada sebahagian dari waktu malam sujudlah
kepada Tuhan (dengan mengerjakan sembahyang) dan (seboleh-bolehnya)
bertasbihlah memujiNya (dengan mengerjakan sembahyang Tahajud), pada
sebahagian yang panjang dari waktu malam. (26) Sesungguhnya
orang-orang (yang menentangmu) itu sentiasa mencintai (kesenangan dan
kemewahan dunia) yang cepat habisnya, serta mereka membelakangkan (tidak
menghiraukan bekalan) untuk hari akhirat yang amat berat
(penderitaannya kepada orang-orang yang tidak bertakwa). (27) Kamilah
yang menciptakan mereka serta menguatkan tulang sendi dan urat saraf
mereka; (Kami berkuasa membinasakan mereka) dan apabila Kami kehendaki,
Kami gantikan (mereka dengan) orang-orang yang serupa dengan mereka,
dengan penggantian yang sebaik-baiknya. (28) Sesungguhnya
(segala keterangan yang disebutkan) ini, menjadi peringatan; maka
sesiapa yang mahukan (kebaikan dirinya) bolehlah dia mengambil jalan
yang menyampaikan kepada keredaan Allah (dengan iman dan taat). (29) Dan
tiadalah kamu berkemahuan (melakukan sesuatu perkara) melainkan dengan
cara yang dikehendaki Allah; sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui,
lagi Maha Bijaksana (mengaturkan sebarang perkara yang dikehendakiNya).
(30) Dia
memasukkan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang ditetapkan)
ke dalam rahmatNya (dengan ditempatkannya di dalam Syurga) dan
orang-orang yang zalim, Dia menyediakan untuk mereka azab seksa yang
tidak terperi sakitnya. / (31)
Subscribe to:
Posts (Atom)